
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mencipta satu lagi detik bersejarah apabila meraih dua anugerah antarabangsa berprestij sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition BestBrands Awards 2025, yang berlangsung di Singapura.
Syarikat pengendali haji dan umrah itu membawa pulang anugerah The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition BestBrand Award 2025, Excellence in International Umrah Travel & Tour dan The Brand Leadership Award 2025 – Industry Icon.
Andalusia menerusi kenyataan memaklumkan, anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik industri umrah dan pelancongan muslim, setelah berjaya menyantuni hampir sejuta jemaah sepanjang 23 tahun beroperasi.
Katanya, pengiktirafan BestBrand Award membuktikan kedudukan Andalusia sebagai peneraju dalam sektor pelancongan Islam serantau, manakala Brand Leadership Award mengiktiraf kepimpinan strategik Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, yang telah berjaya mengangkat jenama syarikat itu ke peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini bukan sekadar simbol kejayaan sesebuah jenama, ia adalah lambang kepada misi jangka panjang Andalusia untuk memperkasa industri pelancongan Muslim berasaskan kualiti, integriti dan tujuan yang murni.
“Sejak ditubuhkan lebih dua dekad lalu, Andalusia kekal komited dalam menawarkan perkhidmatan umrah dan pelancongan Islam yang dipercayai, profesional serta berteraskan nilai keagamaan dan khidmat kepada ummah,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Sementara itu, Ida Riswana berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran dan berbesar hati terhadap pengiktirafan tersebut.
“Ia menjadi peringatan bahawa apabila kita memimpin dengan niat, nilai dan visi yang jelas, jenama tempatan juga mampu mengangkat nilai Islam serta nama negara di peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, pengiktirafan itu juga milik seluruh warga kerja Andalusia, rakan kerjasama serta para jemaah yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
“Ia membakar semangat kami untuk terus berkembang, bukan sekadar daripada segi capaian, tetapi juga tanggungjawab,” katanya.
Selaras dengan tema BrandLaureate, ‘Honouring Our Past, Celebrating Our Present, Inspiring Our Future’, kejayaan itu membuktikan bagaimana Andalusia berkembang daripada sebuah jenama tempatan kepada institusi yang dihormati di peringkat global, dengan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan kesan spiritual.
Sebagai syarikat yang lahir dari bumi Malaysia, Andalusia tidak pernah lupa akar perjuangannya, membantu lebih ramai umat Islam menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan
selamat, berilmu dan berkat.
Kini, perjuangan itu diteruskan dengan lebih kukuh, disokong pengiktirafan global yang akan membuka lebih banyak ruang untuk Andalusia memperluas legasi tersebut.







