PUTRAJAYA: Kerajaan menjalankan penilaian terancang untuk mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga elektrik bersih, stabil dan berdaya saing bagi campuran tenaga negara pada masa hadapan.
Inisiatif ini mengambil kira keperluan mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh keselamatan tenaga dalam jangka panjang, menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon, serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Langkah ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap perubahan iklim dan peningkatan permintaan tenaga.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), MyPOWER Corporation, selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO), diberi tanggungjawab menyelaras usaha persediaan berdasarkan panduan yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Fasa persediaan ini dilaksanakan melalui satu rangka kerja yang teratur, dengan penyelarasan jawatankuasa teknikal merentasi kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, bagi memastikan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu di peringkat nasional,” menurut kenyataan PETRA hari ini.
Pelaksanaan penilaian ini berpandukan Pendekatan Bertahap IAEA, yang merangkumi penetapan pendirian negara, pembangunan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penglibatan pihak berkepentingan, serta pembangunan sumber manusia.
Namun, PETRA menjelaskan tiada keputusan muktamad dibuat berhubung pelaksanaan, jenis teknologi, atau kapasiti reaktor nuklear yang akan dibangunkan pada ketika ini.
Menurut kenyataan itu, keutamaan kerajaan, adalah memastikan sebarang pertimbangan masa depan dibuat berdasarkan analisis teknikal yang menyeluruh dan sejajar dengan matlamat pembangunan negara serta mematuhi komitmen antarabangsa.
Langkah ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perancangan jangka panjang berteraskan ilmu, kemampanan sumber dan kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Khamis lalu menyatakan kerajaan menimbangkan tenaga nuklear sebagai antara pilihan sumber tenaga bersih yang selamat dan berdaya saing.
