
PETALING: Wabak demam denggi yang berlarutan selama lebih lima bulan di Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway dapat dikawal sepenuhnya pada 30 Julai lalu.
Kejayaan itu hasil kerjasama antara sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dan lima warga asing yang menetap di kawasan tersebut.
Sejak wabak itu mula dikesan pada 28 Februari 2025, pelbagai inisiatif dijalankan termasuk aktiviti gotong-royong.

Namun, kes denggi terus meningkat sehingga satu pendekatan diambil iaitu penglibatan aktif komuniti warga asing sendiri.
Menurut Pengerusi Combi Lagoon Perdana, Fairuz Jahari, kejayaan ini dicapai selepas penganjuran program khas bertajuk ‘Denggi VS Bangladesh’ yang berlangsung pada 12 Julai lalu.
“Pegawai Pendidikan Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Sufian Hadi Sojak menghubungi saya dan memaklumkan daripada 49 kes denggi di sini sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 30 kes melibatkan warga Bangladesh.
“Daripada situ, kami mula faham corak penularan dan memutuskan untuk melibatkan komuniti itu sendiri dalam usaha pencegahan.
“Lima sukarelawan warga asing iaitu empat dari Bangladesh dan seorang dari Pakistan dipilih untuk menyampaikan mesej kesedaran dalam bahasa yang difahami komuniti mereka,” jelas Fairuz.

Katanya, kelima-lima individu tersebut sudah lama menetap di pangsapuri berkenaan dan fasih berbahasa Malaysia, menjadikan mereka medium efektif untuk menyampaikan nasihat serta teguran kepada rakan senegara mereka.
Sepanjang tempoh penularan, sebanyak 53 kes direkodkan, dengan 33 daripadanya (73.6 peratus) melibatkan warga Bangladesh.
Ini menjadikan episod denggi di Lagoon Perdana sebagai yang terpanjang dalam Daerah Petaling bagi tahun ini.
Program yang dilaksanakan di kawasan masuk pangsapuri dan surau menarik kehadiran lebih 200 orang, majoritinya warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Myanmar.
Kejayaan ini turut disokong oleh kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Surau Al-Munawwarah, Badan Pengurusan Bersama (JMB), serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Pangsapuri Lagoon Perdana merupakan lokaliti pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia oleh PKD Petaling sejak tahun 2021, dalam usaha mengekang penularan wabak Denggi.






