KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited memelihara kepentingan rakyat melalui tumpuan kepada pemulihan ekonomi, pengukuhan perpaduan nasional dan kestabilan politik.
Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pendekatan Kerajaan Madani dirangka dengan visi jangka panjang yang menyeluruh, demi menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Kita dapat lihat bagaimana Perdana Menteri sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menstabilkan kos sara hidup dan menyediakan peluang pekerjaan yang adil,” katanya ketika merasmikan sesi sembang santai bersama hampir 400 pelajar SMK Subang Bestari di Dewan Help Universiti.
Beliau turut menyatakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pelbagai inisiatif bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuktikan kesungguhan kerajaan dalam mempercepat pemulihan ekonomi pasca pandemik dan menghadapi ketidaktentuan global.
Menyentuh soal perpaduan, Ramanan menyifatkan gagasan Malaysia Madani sebagai asas kukuh dalam menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Perpaduan bukan hanya slogan. Ia diterjemah melalui dasar inklusif, pengagihan bantuan yang adil dan sokongan menyeluruh kepada semua komuniti termasuk masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta rakyat di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Ramanan turut menekankan pentingnya mengekalkan kestabilan politik yang telah dicapai hasil kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tiada pembangunan mampu dilaksanakan dalam suasana politik yang tidak stabil. Hari ini, kita mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh dan dipimpin oleh seorang tokoh berpengalaman yang berani membuat keputusan sukar demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif negatif yang cuba memecahbelahkan masyarakat.
“Rakyat perlu bijak menilai. Di bawah Kerajaan Madani, kebajikan rakyat terus dibela, peluang ekonomi diperluas, dan negara berada di landasan yang betul. Ini bukan masa untuk berpolitik secara sempit, tetapi masa untuk bersatu membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Ramanan turut menyeru semua pihak terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas berpaksikan prinsip integriti, keberanian dan inklusiviti dalam membela nasib rakyat Malaysia.
