KUALA LUMPUR: Hampir 11,000 peserta menyertai program Navy Run 25 anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlangsung di ibu negara hari ini, sekali gus mencatatkan penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi ketiga itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat awam, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Menurut Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Laksamana Muda Badarudin Taha, jumlah peserta tahun ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding penyertaan sekitar 6,000 orang pada tahun lalu.
“Penyertaan luar jangka ini sangat membanggakan.
“Kita dapat lihat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, yang hadir beramai-ramai untuk memeriahkan larian hari ini,” katanya ketika ditemui media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Kata beliau, program ini juga berperanan sebagai platform kutipan dana untuk pembangunan sukan dalam TLDM.
“Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyokong latihan, penyediaan fasiliti serta pembelian peralatan sukan yang sesuai untuk para atlet TLDM,” katanya.
Beliau turut menekankan atlet-atlet TLDM sudah banyak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, dan dana tersebut amat penting untuk memastikan kecemerlangan mereka dapat diteruskan.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain pada pukul 7.20 pagi.
TLDM turut menyasarkan Navy Run dijadikan acara tahunan tetap, dengan edisi keempat dijadualkan berlangsung pada awal Ogos 2026.
