KUALA LUMPUR: Mekanisme penyasaran semula subsidi petrol RON95 yang sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF) akan bergantung sepenuhnya kepada data daripada Sistem Pangkalan Data Utama (Padu), menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau yang kini juga menjalankan fungsi Menteri Ekonomi berkata, sistem Padu setakat ini sudah menghimpunkan sebanyak 30.4 juta profil individu rakyat Malaysia.
“Profil ini meliputi maklumat demografi, lokaliti, status sosioekonomi, pekerjaan, pendapatan, tahap pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima,” jelas beliau semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Katanya, penggunaan data Padu akan menjadi rujukan utama dalam menentukan penerima subsidi bersasar RON95, sekali gus menjadikannya penggunaan pertama sistem ini dalam skala yang begitu terperinci.
“Kerajaan kini menumpukan kepada penggunaan data terkini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, termasuk proses pengesahan dan verifikasi maklumat untuk mengenal pasti penerima sebenar serta mengurangkan kesilapan,” katanya ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai peranan Padu dan tahap kesediaan kerajaan untuk melaksanakan audit berkala oleh badan bebas.
Menurut Amir Hamzah, data yang dikumpul turut membolehkan kerajaan merancang program intervensi khusus bagi kumpulan sasar yang memerlukan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 204 agensi kini berkongsi dan mengintegrasikan data secara berterusan dengan Padu, namun penggunaannya masih terhad kepada keperluan tertentu dalam kalangan agensi kerajaan.
“Untuk menggalakkan pembuatan keputusan berdasarkan data, kerajaan telah mengedarkan garis panduan perkongsian data Padu kepada semua agensi pada 25 Februari lalu.
“Sesi taklimat juga telah diadakan melibatkan kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan antara Februari hingga Jun tahun ini,” katanya.
Setakat ini, sembilan permohonan penggunaan data Padu daripada pelbagai agensi diluluskan bagi membantu meningkatkan kecekapan dasar kerajaan dan memacu inovasi dalam pendigitalan perkhidmatan awam.
