
IPOH: Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis susulan penularan sebuah video dalam TikTok yang memaparkan maklumat palsu berkaitan Istiadat Perkahwinan Diraja Perak yang kononnya akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 7 Ogos ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, dalam satu kenyataan memaklumkan laporan polis sudah dibuat pada 31 Julai lalu berhubung dakwaan tidak berasas tersebut.
Beliau menegaskan tiada sebarang majlis persandingan diraja akan diadakan di Istana Iskandariah pada tarikh berkenaan, malah tidak wujud sebarang liputan siaran langsung Majlis Akad Nikah seperti yang didakwa dalam video terbabit.
“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali dan tiada hubungan dengan pemilik akaun TikTok berkenaan.
“Tambahan pula, tiada mana-mana pihak atau pemilik akaun media sosial yang dilantik sebagai jurucakap rasmi Istana Perak untuk sebarang majlis, termasuk Majlis Perkahwinan Diraja,” katanya.
Beliau turut menegaskan kandungan video tersebut adalah palsu dan boleh mengelirukan masyarakat, selain mencemarkan nama baik institusi Istana Perak.
Meor Hezbullah turut menyeru orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan rakyat.
Sebelum ini, sebuah video berdurasi 58 saat yang dimuat naik di TikTok mendakwa Majlis Persandingan Diraja akan berlangsung di Istana Iskandariah dari 7 hingga 17 Ogos, dan akan disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen televisyen tempatan pada pukul 11.30 pagi, 7 Ogos.
Video itu turut menyatakan kononnya majlis Akad Nikah dan Berbedak akan dipersembahkan untuk tontonan umum, dan pasangan diraja akan berkunjung ke Tamparuli, Sabah selama seminggu selepas itu untuk urusan perkahwinan pada 17 Ogos.






