
KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan membenarkan pengimportan daging, produk daging, unggas dan produk unggas dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai sijil halal oleh badan pensijilan halal AS yang mematuhi piawaian dan standard halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan syariah dan akan terus mempertahankan standard halal negara demi kepentingan pengguna Muslim di Malaysia.
“Fasilitasi yang dimaksudkan hanya melibatkan pemantauan dan pengesahan oleh badan pensijilan halal dari AS yang telah diiktiraf oleh JAKIM,” katanya ketika sesi penerangan berhubung rundingan perdagangan timbal balas dengan AS di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menafikan dakwaan Malaysia akan serta-merta mengiktiraf semua sijil halal dari AS, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas, mengelirukan serta berniat jahat.
Dalam rundingan tersebut, kedua-dua negara juga bersetuju memudah cara proses pensijilan dan pendaftaran fasiliti bagi membolehkan eksport produk tenusu, daging serta unggas dari AS ke Malaysia, tertakluk kepada peraturan tempatan yang ditetapkan.
Selain itu, Malaysia dan AS turut mencapai persetujuan mengenai pelaksanaan kaedah ‘regionalisation’ dalam kawalan penyakit haiwan, bagi membolehkan eksport unggas hidup dan produk berkaitan dari kawasan tertentu di AS yang bebas penyakit.
Rundingan itu turut membuka laluan kepada pemudahcara pengiktirafan standard serta pemasaran produk perindustrian dari AS seperti kenderaan, peranti perubatan dan farmaseutikal, selaras dengan peraturan domestik Malaysia.
Tengku Zafrul menambah, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempertingkat komitmen dalam pelbagai isu antarabangsa termasuk perlindungan hak harta intelek, buruh, alam sekitar dan pengurusan perikanan secara mampan, selaras dengan pendirian Malaysia di pentas global.





