KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peranan penting beliau dalam membantu meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menyambut baik segala bentuk keterlibatan Malaysia dalam usaha memperkukuh kestabilan dan keamanan serantau.
“Apa pun peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) walau ada yang menyifatkan sebagai tuan rumah, ia tetap satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan syabas.
“Apa yang penting Malaysia akan terus kekal dihormati sebagai sebuah negara berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.
Pada mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, turut mencapai persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menyeru agar Malaysia terus konsisten dalam memperjuangkan keamanan sejagat serta berani menyatakan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.
Katanya, komitmen negara dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa amat penting, terutamanya ketika dunia kini berdepan dengan ketidakstabilan geopolitik dan peningkatan konflik di pelbagai rantau.
“Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja, tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung.
“Bagi memelihara kepentingan diplomasi dan strategik negara dari segenap sudut, maka Perdana Menteri, Menteri Luar serta seluruh anggota Jemaah Menteri memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun dan terukur,” katanya.
Mengenai kadar tarif 19 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia, Hamzah berkata PN berpendirian jelas bahawa negara ini mesti berdagang dengan bermaruah terutamanya dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.
AS mengenakan tarif pada kadar yang dikurangkan kepada 19 peratus daripada 25 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos.
