KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan hasil positif apabila hujan lebat dilaporkan turun hanya 45 minit selepas operasi dimulakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut serta dalam operasi udara tersebut memaklumkan bahawa tindakan itu diambil ekoran krisis bekalan air yang semakin meruncing dan memberi kesan besar kepada komuniti setempat serta sektor pertanian di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, paras air di empangan kini berada pada tahap kritikal iaitu hanya 12.21 peratus atau 19.8 kaki kedalaman susulan cuaca kering berpanjangan akibat pengaruh Monsun Barat Daya.
“Mengikut laporan diberikan di kawasan persekitaran terutamanya sawah padi dan juga keperluan air domestik dilihat sangat memerlukan bantuan daripada NADMA bagi pembenihan awan dilakukan. Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga memperlihatkan kesahihan permintaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai operasi pembenihan awan bersama Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategi dan Teknikal) MetMalaysia, Mohd Zunaidi Mat di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, sebuah pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan dalam operasi berkenaan dengan 6,000 liter bahan kimia disimpan dalam empat tangki dan dilepaskan ke awan.
“Ini usaha saintifik yang dilakukan dengan tentunya pertolongan daripada Allah SWT dan kita harap pengairan sawah, perikanan, pelancongan serta fungsi mitigasi air di kawasan itu dapat diatasi,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata terdapat kebimbangan terhadap peningkatan suhu panas di seluruh negara dengan beberapa kawasan mencatat cuaca panas melampau selama tiga hari berturut-turut termasuk Bandar Baharu (Kedah), Selama (Perak), Temerloh (Pahang), Limbang (Sarawak) serta Tenom dan Pitas (Sabah).
Katanya, MetMalaysia bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini memantau rapat kawasan berisiko tinggi serta zon empangan lain yang berkemungkinan memerlukan intervensi sama.
“Operasi ini bukan hanya kepada permohonan tetapi berdasarkan kepada keperluan setelah pemantauan dilakukan di lapanga sebagai langkah proaktif untuk melakukan operasi apabila paras air telah menurun di bawah 30 peratus,” katanya.
