PETALING JAYA: Tiada sebarang maklumat yang menunjukkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin diabaikan atau didera, kata saksi pembelaan kelima memberitahu Mahkamah Sesyen.
Kenyataan tersebut dibuat Pakar Psikologi Kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli, 49 berdasarkan tiga laporan perubatan daripada dua hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.
Laporan yang dirujuk ialah laporan daripada saksi pendakwaan ke-23, Pegawai Perubatan di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh, Dr. Hanisah Abd. Nasir ketika Zayn Rayyan menjalani terapi pertuturan pada umur dua tahun.
Dua lagi laporan disediakan saksi pendakwaan ke-24, bekas Doktor Pakar Pediatrik Hospital Selayang, Dr. Bernice Lim Pei-Yi berhubung tahap pertuturan Zayn Rayyan.
Beliau bekata demikian ketika disoal oleh peguam bela, Haresh Mahadevan pada prosiding bela diri ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 30, yang didakwa mengabaikan Zayn Rayyan.
Haresh: Ada atau tidak doktor dibekalkan dengan tiga laporan perubatan oleh Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh?
Noor Aishah: Ya, ada.
Haresh: Ada atau tidak doktor membaca kandungan laporan?
Noor Aishah: Ya, saya baca.
Haresh: Ada atau tidak apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa arwah Zayn Rayyan ini seorang kanak-kanak yang diabaikan ataupun didera. Ada atau tidak?
Noor Aishah: Tidak ada satu perkataan pun yang menjurus keadaan (pengabaian, penderaan) itu.
Selain itu, pakar yang mempunyai klinik sendiri itu memberitahu, ‘pengabaian’ yang dinyatakan dalam pertuduhan tidak menyatakan secara spesifik cara pengabaian itu dilakukan.
Menurutnya, perkataan ‘mungkin’ yang digunakan untuk merujuk pengabaian seperti dalam pertuduhan pindaan tidak menepati definisi oleh Persatuan Psikologi Amerika Syarikat (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Mengikut pertuduhan, Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Haresh: Saya ingin merujuk saksi kepada pertuduhan pindaan. Baca setiap baris.
Noor Aishah: (membaca pertuduhan pindaan) Dikatakan telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
Haresh: Doktor sebentar tadi ada memberitahu ke mahkamah cara-cara ataupun definisi pengabaian dan contoh-contoh.
Noor Aishah: Ya.
Haresh: Adakah cara pengabaian dihuraikan di dalam pertuduhan pindaan yang ada di hadapan doktor?
Noor Aishah: Jika melihat kepada ayat iaitu ‘telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal’, saya melihat perkataan ‘mungkin’ itu adalah satu yang tiada kepastian, yang menekankan kepada fizikal.
Haresh: Ada atau tidak cara (merujuk kepada definisi pengabaian yang dijelaskan) tertuduh mengabaikan kanak-kanak wujud di dalam pertuduhan ?
Noor Aishah: Tidak ternyata di sini.
Terdahulu, saksi itu menjelaskan definisi pengabaian perlu memenuhi empat kriteria iaitu pengabaian menerusi emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas.
Katanya, definisi daripada APA dan WHO dijadikan rujukan memandangkan tiada takrifan rasmi mengenai pengabaian kanak-kanak di peringkat nasional.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri oleh mahkamah manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari yang sebelum ini didakwa bersama wanita itu dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
