
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas dipenjara penjara tujuh hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga murid dan seorang guru di kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sabtu lalu.
Majistret Nur Nastasya Mohtarudin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Mohamad Hamir Masrudin, 44, selepas beliau membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan sekiranya denda tersebut gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didakwa memandu dengan cara yang berbahaya kepada orang awam, mengambil kira faktor keadaan jalan, kesesakan lalu lintas serta keluasannya.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM pada jam 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu, dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan bekerja sambilan dan menanggung keluarga termasuk ibu yang sakit.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kejadian itu melibatkan kecuaian serius yang mencederakan tiga kanak-kanak dan seorang guru.
“Tertuduh memandu dalam keadaan cuai, laju dan berbahaya. Saya mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan menjatuhkan hukuman yang wajar,” katanya.
Beliau turut memohon agar sabitan kesalahan direkodkan dalam lesen memandu tertuduh serta lesen itu digantung, selaras dengan peruntukan undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah bas yang membawa rombongan murid-murid dari tadika PASTI Ampang terbabit dalam kemalangan apabila melanggar sebatang pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM.
Bas tersebut ketika itu membawa lima guru pengiring dan 30 murid dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke G2G Animal Garden di MAEPS, Serdang.
Kejadian itu turut dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) dan videonya tular di media sosial.
Pemandu bas dilaporkan berada dalam keadaan penat dan tidak cukup tidur, dipercayai menjadi punca kepada kemalangan tersebut.






