
KUALA LUMPUR: Rundingan konflik di sempadan Thailand-Kemboja dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, ketua-ketua tentera, khususnya jeneral yang bertugas di kawasan sempadan kedua-dua negara, akan berada di Kuala Lumpur minggu ini bagi menghadiri sesi rundingan yang diselaraskan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
“Kita harapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia dapat dimeterai sebelum atau pada Khamis ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, pada 7 Ogos, Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dijadualkan bertemu untuk mencapai kesepakatan mengenai konflik tersebut.
“Mudah-mudahan ada penyelesaian muktamad dan tegas, sama ada hentikan atau teruskan gencatan senjata,” ujarnya.
Anwar menjelaskan Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menjayakan rundingan damai dan gencatan senjata antara kedua-dua negara.
Konflik di sempadan Thailand-Kemboja bermula dengan pertempuran singkat pada 28 Mei, sebelum memuncak menjadi pertempuran bersenjata pada 24 Julai.
Susulan itu, pada 28 Julai, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, hasil mesyuarat khas yang dianjurkan di Putrajaya oleh Anwar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri turut menyatakan pertemuan akan datang antara Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja juga bertujuan memastikan tiada lagi pelanggaran atau peraturan di kawasan sempadan yang dipertikai.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung kejayaan usaha diplomatik tersebut.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama kementerian-kementerian, pasukan tentera Malaysia dan negara-negara ASEAN,” katanya.
Anwar menegaskan penyelesaian konflik ini penting bukan sahaja untuk Thailand dan Kemboja, malah bagi menjaga imej dan kestabilan ASEAN secara keseluruhan.
“Segala masalah ini harus diselesaikan secara muafakat, dan setakat ini kedua-dua negara menunjukkan sikap yang sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad,” jelasnya.





