KOTA KINABALU: Wujud kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan yang telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan kematian kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan peguam yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, siasatan yang dijalankan disifatkan terlalu kecil skopnya dan terhad fokusnya atas beberapa faktor penting yang diketepikan.
Kata Hamid Ismail dan Shahlan Jufri bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina sebelum pengebumiannya selain pakaian dan barang peribadi yang dipakai mangsa semasa ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu juga tidak diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.
“Keterangan anak guam kami berkenaan kesan lebam di bahagian belakang tubuh Zara Qairina hanya diambil pada petang 3 Ogos dan 4 Ogos lalu di Balai Polis Sipitang,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pihak polis dipercayai tidak mempunyai bahan bukti mencukupi untuk menyiasat kes ini secara efektif kerana tiada laporan bedah siasat serta tiada pengambilan pakaian dan barang peribadi mangsa.
“Apatah lagi, wujud kekangan masa kerana laporan siasatan kes telah dihantar ke Putrajaya pada 4 Ogos (Isnin),” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut merujuk kepada kenyataan media Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan pada Isnin, memaklumkan telah menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
