
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berusaha memulihkan kedudukan kewangan negara demi kesejahteraan rakyat, meskipun berdepan kritikan berterusan daripada pihak pembangkang.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, seiring dengan pemulihan fiskal negara, kerajaan mula menyalurkan pelbagai bentuk bantuan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat, terutamanya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Perdana Menteri ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan dan bersabar sepanjang proses pemulihan negara ini,” katanya dalam satu taklimat media hari ini.
Katanya, meskipun terdapat segelintir pihak termasuk Ketua Pembangkang yang mengecam dan memperlekehkan usaha kerajaan setiap hari melalui media sosial, Perdana Menteri tidak pernah goyah atau berkecil hati.
Tunku Nashrul menjelaskan pengumuman bantuan khas oleh Perdana Menteri semalam adalah langkah segera untuk menangani kos sara hidup rakyat, sementara inisiatif lain bagi tahun depan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober nanti.
“Bantuan ini mengambil kira keupayaan fiskal semasa dan merupakan tambahan kepada perancangan dalam Belanjawan 2025,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengulangi permohonan maaf Perdana Menteri atas kelewatan menunaikan beberapa janji sebelum dilantik menerajui kerajaan.
Beliau turut menyelar kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta beberapa pimpinan pembangkang yang memperlekeh penurunan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99, dan pemberian bantuan tunai RM100 secara ‘one-off’ kepada semua rakyat dewasa.
“Perlu diingat, ini adalah kali pertama semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima bantuan sempena bulan kemerdekaan,” ujarnya.
Tunku Nashrul juga menegaskan bantuan yang diumumkan bukan sebahagian daripada Belanjawan 2026, yang hanya akan diguna pakai bermula tahun hadapan.
“Belanjawan 2026 belum bermula. Bantuan yang diumumkan semalam termasuk SARA untuk Semua akan mula dilaksanakan pada 31 Ogos 2025,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pihaknya sentiasa bersedia memberikan penjelasan lanjut kepada Menteri Besar Kedah sekiranya diperlukan, agar kenyataan yang dikeluarkan tidak lagi tersasar daripada fakta sebenar, khususnya berkaitan asas pengurusan kewangan negara.