
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu penurunan harga petrol selaras tindakan beberapa negara ASEAN lain.
Katanya, pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga minyak semalam tidak pelik memandangkan Thailand melakukan tindakan sama beberapa minggu lalu.
“Saya hendak maklumkan di Thailand, sudah turun minggu lepas atau beberapa minggu lepas. Banyak negara ASEAN sudah turun harga sebab harga minyak dunia sudah turun,” katanya pada sidang media, di Parlimen, hari ini.
Semalam, melalui pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September 2025 yang bakal memberi manfaat kepada 18 juta rakyat termasuk belia dan pekerja gig.
Sementara itu, Hamzah turut mendesak proses pelantikan Ketua Audit Negara (KAN), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi diperbetulkan.
Beliau berkata, pelantikan itu didakwa melanggar undang-undang, tidak bersifat bebas kerana KAN berkenaan masih bergelar penjawat awam ketika lantikannya dibuat.
“Ia menyebabkan dia tidak bebas kerana dia ada bos menyebabkan apa yang dibentangkan boleh dikompromi…itu kita kata susah.
“Tindakan sudah bermula, kita sudahpun utarakan perkara itu…kalau masih berlaku, maksudnya ada campur tangan,” katanya.





