PUTRAJAYA: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) berjaya mengumpul hampir RM120 juta hasil sumbangan sektor swasta, sekali gus menunjukkan sokongan kukuh terhadap usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya pada majlis peluncuran inisiatif itu, menyifatkan sambutan yang diterima sebagai luar biasa dan jauh melebihi sasaran awal sebanyak RM50 juta.
“Pada awalnya saya menyatakan bahawa jika dapat RM50 juta pun sudah cukup baik kerana kerajaan boleh tambah sedikit. Namun sambutannya bukan sekadar dua kali ganda, malah lebih daripada itu.
“Saya agak tersentuh dan mohon maaf kerana saya juga manusia biasa. Tidak semua orang akan setuju dengan pendekatan ini, tetapi saya yakin dengan usaha ini dan setakat ini hampir RM120 juta telah berjaya dikumpul,” katanya.
Program Sejahtera MADANI yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), merupakan inisiatif bersepadu yang menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi daripada kementerian, agensi kerajaan dan sektor korporat.
Ia memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu peningkatan pendapatan, akses pendidikan, penyediaan perumahan dan bantuan kebajikan.
Anwar turut menegaskan penglibatan aktif sektor swasta bukan sahaja dalam bentuk sumbangan kewangan, tetapi juga menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat yang lebih menyeluruh.
“Inilah semangat kerjasama nasional yang kita mahukan. Negara yang hebat bermula daripada pimpinan yang bertanggungjawab, bebas daripada ketirisan dan rasuah.
“Tetapi kekuatan sebenar terletak pada sektor swasta yang mampu menembusi pasaran global seperti ke Mesir, Itali, Perancis, Peru dan Brazil.
“Peranan kami di kerajaan ialah memberi galakan dan sokongan sepenuhnya,” ujar beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya kekal komited menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia melalui pendekatan menyeluruh dan berstrategi.
“Sasaran saya bersama Jemaah Menteri ialah untuk menghapuskan kemiskinan tegar (‘hardcore poor’).
“Berdasarkan angka terkini dari 2023 hingga 2024, jumlah itu sudah jauh menurun walaupun angka muktamad akan diumumkan kemudian,” katanya.
