KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang bukti sahih atau fakta sokongan berhubung dakwaan lokasi terkini ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low, termasuk penggunaan pasport palsu seperti yang dilaporkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, KDN sentiasa menjalinkan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam usaha mengesan individu berkenaan.
“Setakat ini dakwaan mengenai lokasi dan juga penggunaan pasport individu yang disebut itu masih belum ditemui.
“Belum ada fakta sokongan ataupun mana-mana bukti yang sah dan sahih, ia kekal sebagai satu pelaporan oleh wartawan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau ada membaca mengenai laporan berita berhubung keberadaan Jho Low yang didakwa kini menetap di kawasan mewah ‘Green Hills’ di Shanghai, China, namun akan membuat semakan maklumat dengan Saifuddin.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan beberapa media antarabangsa yang memetik dua wartawan penyiasat — Bradley Hope dan Tom Wright — mendakwa bahawa Jho Low kini tinggal di Shanghai menggunakan identiti palsu dengan nama ‘Constantinos Achilles Veis’ serta pasport Australia palsu.
Pendedahan itu dibuat dua wartawan berkenaan yang membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, baru-baru ini.
Jho Low kekal sebagai suspek utama dalam skandal 1MDB dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia serta antarabangsa sejak 2018. Notis merah Interpol terhadapnya masih berkuat kuasa.
