
TELUK INTAN: Penemuan mengejutkan berlaku di sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong di sini, apabila rangka dan tengkorak manusia ditemukan di tingkat atas kediaman itu, Sabtu lalu.
Mangsa dipercayai merupakan anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi, yang pernah berkhidmat dari tahun 1959 hingga 1964.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kejadian terbongkar selepas abang mangsa, berusia 78 tahun, datang menziarahi adiknya yang berumur 75 tahun sekitar pukul 11 pagi.
Namun, dia mula curiga selepas terhidu bau busuk dari dalam rumah.
“Abang mangsa tidak dapat naik ke tingkat atas kerana tangga kayu yang uzur dan reput, lalu membuat laporan polis pada pukul 2.24 petang hari yang sama,” katanya.
Sepasukan anggota polis dengan bantuan pasukan bomba kemudian dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan awal menemukan satu tengkorak dan rangka manusia, bersama anjing peliharaan mangsa dan beberapa barangan peribadi miliknya di tingkat atas rumah,” jelasnya.
Bakri berkata, mangsa dipercayai tinggal bersendirian di rumah pusaka peninggalan keluarganya.
Mayat tersebut sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut dan kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.







