
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu kenyataan bersama ASEAN yang mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap rakyat Palestin mencerminkan tahap persefahaman dan kesepakatan serantau yang semakin kukuh dalam kalangan negara-negara anggotanya berhubung isu kemanusiaan global.
Katanya, pencapaian ini amat signifikan memandangkan ASEAN sebelum ini menghadapi cabaran besar untuk mencapai kata sepakat mengenai isu Palestin akibat perbezaan pendirian antara negara anggota.
“Alhamdulillah, walaupun sebelum ini agak sukar, kali ini kita berjaya keluarkan kenyataan bersama semasa kekejaman Israel memuncak.
“Semua negara ASEAN bersetuju mengutuk tindakan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, termasuk penggunaan makanan sebagai senjata untuk menghukum mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta pendirian ASEAN terhadap isu Palestin, termasuk perkembangan Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang berlangsung 11 Julai lalu.
Mohamad berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi ruang untuk memperkukuh pendirian kolektif serantau terhadap isu-isu kemanusiaan, termasuk penderitaan rakyat Palestin.
Katanya, Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang berlangsung pada 11 Julai lalu turut mencatatkan kejayaan penting apabila Jepun bersetuju menyertai kenyataan bersama mengecam kekejaman rejim Israel buat pertama kalinya.
“Sebelum ini Jepun mengambil pendirian berkecuali. Namun, semasa persidangan tersebut yang turut dihadiri Republik Korea dan semua negara ASEAN, Jepun akhirnya bersetuju dengan kenyataan bersama yang kita keluarkan.
“Kita mengutuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, dan ini suatu perkembangan diplomatik yang amat penting,” ujarnya.
Tambah beliau, ASEAN bersama negara-negara Asia Timur bersetuju untuk merangka pelan tindakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan termasuk bekalan makanan serta memulakan perancangan kerjasama pasca-konflik sekiranya gencatan senjata berkekalan dapat dicapai melalui persidangan tersebut.






