ALOR SETAR: Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini mengambil pendekatan ‘merakyatkan’ muzium.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, festival kali ini adalah suatu program berkonsepkan reach out.
Beliau memberitahu, muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi mensasarkan untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat, jauh atau dekat di seluruh pelusuk tanah air.
“Sebagai pengendara institusi muzium di peringkat persekutuan, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah merancang dan mengambil langkah yang perlu ke arah memartabatkan institusi muzium di negara ini.
“Muzium mungkin lebih dilihat sebagai entiti warisan, namun peranannya sebagai entiti yang menghubungkan semua komuniti melalui khazanah sejarah dan budaya negara amat penting.
“Dan apabila muzium diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN), perkara inilah yang diberi perhatian,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian FHMAPK 2025 di Muzium Padi, di sini hari ini.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian FHMAPK 2025 itu.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Justeru tahun ini, Kamarul Baharin menambah, bertemakan Harmoni Dalam Kepelbagaian, iltizam KPN adalah untuk menyatukan semua perbezaan di bawah payung identiti nasional menggunakan konsep ‘Negara Bangsa’.
Katanya, hala tuju itu direncanakan melalui pelaksanaan pelbagai program di bawah empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.
“Program Festival Hari Muzium ini adalah termasuk di bawah Ikhtiar empat iaitu Komuniti Sosio Budaya yang bertujuan melahirkan masyarakat yang peka terhadap khazanah warisan negara.
“Pada festival ini, sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan berlangsung sehingga 29 Julai nanti,” katanya.
