ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam memelihara sejarah dan warisan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata muzium adalah cerminan ketamadunan bangsa, wajah yang merentas kaum dan generasi.
“Di Kedah, warisan bukan hanya sejarah, tetapi jiwa dan semangat yang membentuk identiti kita bersama.
“Kami menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasa institusi muzium melalui cadangan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM).
“Ini adalah langkah penting ke arah tadbir urus yang lebih profesional dan beretika, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini hari ini.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian FHMAPK 2025 itu.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Muhammad Sanusi menambah, penganjuran FHMAPK 2025 amat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan Experience Kedah yang merupakan satu ajakan mesra rakyat Kedah untuk pelancong datang dan alami sendiri keunikan negeri ini.
Ujarnya, dengan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian, festival tersebut menjadi pentas untuk meraikan kepelbagaian budaya sambil memperkukuh semangat kebangsaan.
“Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi platform untuk menghidupkan semula warisan dalam bentuk yang segar dan interaktif,” katanya.
FHMAPK 2025 mensasarkan 150,000 pengunjung merupakan suatu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan Masyarakat di seluruh pelusuk tanah air.
