ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan merasmikan Majlis Perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di sini hari ini.
FHMAPK 2025 yang diadakan di Muzium Padi di sini itu bermula semalam sehingga 29 Julai membawa tema utama The Future of Museums in Rapidly Changing Communities.
Ia merupakan anjuran Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Festival Hari Muzium Antarabangsa pada kali ini mengambil pendekatan merakyatkan muzium.
Ia mensasarkan 150,000 pengunjung merupakan satu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang festival berlangsung termasuk pameran muzium dalam dan luar negara, demonstrasi permainan tradisional, pertandingan masakan, jualan kraf, sukan rakyat dan persembahan kebudayaan.
Selain itu, terdapat juga bengkel wau, cabutan bertuah, program Pakat Tughun Bendang, bola sepak bendang, malam kerohanian, Museum Fun Run dan banyak lagi.
Festival turut menjangkau komuniti di Baling termasuk suku kaum Kensiu; antara etnik Orang Asli tertua di Semenanjung.
