KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan yang sebelum ini dikaitkan dengan projek pelebaran jalan di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dalam satu mesyuarat yang diadakan hari ini.
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Wilayah dan Datuk Bandar dan mereka bersetuju tidak merobohkan gerai-gerai tersebut bagi tujuan pelebaran jalan,” katanya kepada media.
Namun, Johari menegaskan struktur fizikal sesetengah gerai yang dibina atas tanah tersebut tidak lagi menyerupai gerai penjaja biasa, dan perlu disusun semula mengikut peraturan.
“Ada struktur yang dibina menggunakan batu dan kelihatan seperti bangunan kekal. Ini tidak dibenarkan.
“Saya hanya mahu perjuangkan perkara yang realistik dan boleh membantu penjaja serta penduduk. Kita faham mereka mencari rezeki, tetapi ada garis panduan yang perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penjaja mencontohi model Pusat Penjaja Wirawati yang tersusun dan menarik ramai pengunjung.
“Kita boleh bangunkan semula kawasan penjaja di sini dengan lebih selesa, lengkap dengan ekosistem yang baik seperti pasar dan kemudahan lain.
“Paling penting, kawasan itu tidak kelihatan serabut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan gerai penjaja dan jambatan pejalan kaki berkenaan yang turut dihadiri Zaliha serta Maimunah, di sini hari ini.
