
Oleh SYED MUSADDAD SYED MAHDI
BERADA di pertengahan kerjaya sebenarnya memberikan cabaran besar buat sesiapa sahaja.
Bagi seorang pelakon, ini merupakan fasa genting untuk mereka membawa kerjaya masing-masing sama ada untuk terus ke puncak atau sebaliknya.
Bagi Lan Siro yang sudah berpengalaman luas dalam bidang ini, ada kalanya dia terhimpit dengan persaingan yang datang daripada orang baharu.
Namun dalam masa yang sama dia bersyukur kerana namanya masih menjadi pilihan syarikat produksi dan stesen TV mempercayai bakat yang ada di dalam diri.
“Tipu kalau saya katakan job tak putus-putus. Ada masa memang terputus juga dan saya sudah pernah melaluinya sebelum ini sampai sembilan bulan tanpa sebarang tawaran.
“Tapi sebagai pelakon, saya tak boleh terus menghadap tanpa membuat usaha lain untuk meneruskan hidup. Pelbagai kerja juga dilakukan untuk hidup,” kata pelakon ini.

Tidak malu mengakui yang pernah melakukan pelbagai usaha lain termasuklah menjadi pemandu Grab Food, berniaga dan menjadi personal trainer gimnasium, dia bersyukur dengan pengalaman yang dikutip.
Walaupun ada ketikanya merasa perit, dia bagaimanapun gembira kerana bakatnya tidak pernah sesekali dilupakan oleh orang industri.
Beberapa tawaran juga muncul namun dia tidak pernah sesekali meninggalkan kerjaya sampingan sama sekali.
Ketika ini, Lan sedang menjalani penggambaran telefilem Terlajak Subuh terbitan Kembara Sufi Production Sdn. Bhd., di Kuantan dan Temerloh, Pahang.
Selain Lan, naskhah ini juga membariskan Bell Ngasri, Zetty Mentor, Razak Ahmad dan ramai lagi.
Membawakan watak Mat, ada sesuatu yang menarik perhatian Lan tatkala berceritakan tentang kisah tersebut.

“Watak Mat ini adalah seorang lelaki yang suka mempergunakan orang lain serta malas berusaha, tetapi mempunyai impian untuk menjadi seorang kaya dengan cara mudah.
“Kemudian dia bertemu dengan Zam lakonan Bell Ngasri. Sejak pertemuan itu, Zam dan Mat berkawan sehinggalah ia mengubah kehidupan Zam,” ujarnya.
Terlajak Subuh akan ditayangkan pada Hari Pekerja tahun ini menerusi RTM.