
SEREMBAN: Selepas 22 tahun menerajui DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke hari ini menyerahkan kepimpinan negeri itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar.
Arul Kumar yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pelantikan itu dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan selepas beliau mengosongkan jawatan yang disandang sejak 2004.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan, jadi mulai hari ini saya melepaskan jawatan dan kini hanya kekal sebagai ahli jawatankuasa biasa.
“Mesyuarat hari ini bersetuju sebulat suara melantik saudara Arul Kumar sebagai Pengerusi yang baharu berkuat kuasa hari ini,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Anthony turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Arul Kumar yang mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli jawatankuasa negeri.
Menurutnya, pelantikan Arul Kumar bukan sesuatu yang asing bagi DAP kerana parti itu pernah dipimpin tokoh daripada kaum lain sebelum ini.
Katanya, DAP Negeri Sembilan pernah dipimpin tokoh Melayu, Yusoff Badur pada awal 1980-an, walaupun beliau tidak pernah memenangi mana-mana pilihan raya yang disertainya.
“Saya yakin dan percaya saudara Arul Kumar mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam kejayaan DAP Negeri Sembilan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kita parti berbilang kaum dan walaupun keahlian ramai daripada kaum Cina, tetapi kita melihat hari ini ia dibuktikan,” katanya.
Sementara itu, Arul Kumar mengakui tanggungjawab yang dipikulnya bukan sesuatu yang mudah, terutama selepas DAP memenangi sembilan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Beliau berkata, kejayaan tersebut menjadi satu amanah besar kepada kepimpinan baharu untuk memastikan parti terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan.






