
PUTRAJAYA: Myanmar bersetuju membawa pulang 5,000 pelariannya yang berada di Malaysia menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, persetujuan itu dimaklumkan Menteri Luar Myanmar ketika pertemuan bersama rakan sejawatnya dari negara berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, persoalan berhubung pihak yang akan menanggung kos penghantaran pulang berkenaan masih dalam rundingan kerana Wisma Putra hanya bertindak sebagai pemudah cara.
Menurutnya, proses penghantaran pulang itu perlu dilaksanakan segera memandangkan 5,000 pelarian terbabit sudah dikenal pasti.
“Itu terpulang kepada rundingan kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dan kita di Kementerian Luar (KLN) akan lakukan jika diputuskan KDN dan juga kementerian mereka di Myanmar.
“Kita adalah fasilitator saja untuk hantar pulang pelarian terbabit. Ketika saya bertemu Menteri Luar yang baharu di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan membawa pulang 5,000 pelarian dengan kapal,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN Ke-59 di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, aspek keselamatan pelarian terbabit perlu diberikan perhatian sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.
“Tetapi isunya adalah keselamatan 5,000 pelarian ini, kita tegaskan apakah mereka selamat apabila dihantar balik. Apa akan terjadi kepada mereka, itu perlu juga difikirkan,” katanya.
Mengulas peranan ASEAN dalam menangani isu pelarian, beliau berkata, walaupun perkara itu pada asasnya merupakan masalah dalaman sesebuah negara, terdapat keperluan untuk ia diuruskan secara bersama.
Katanya, pemimpin ASEAN sebelum ini sudah bersetuju memperkenalkan rangka kerja dasar termasuk Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi membantu menyelesaikan krisis di Myanmar.
Sehubungan itu, kerajaan Myanmar perlu memastikan 5PC dipatuhi dan dilaksanakan sebelum proses penghantaran pulang pelarian dilakukan bagi menjamin keselamatan mereka.
5PC menggariskan beberapa perkara termasuk penghentian segera keganasan di Myanmar, pelaksanaan dialog membina antara semua pihak serta pelantikan wakil khas Pengerusi ASEAN bagi memudah cara proses dialog.
Ia turut merangkumi penyediaan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN kepada rakyat Myanmar yang terjejas serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu untuk bertemu semua pihak berkepentingan.
Mohamad berkata, isu yang dibincangkan bukan hanya membabitkan pelarian Rohingya, sebaliknya meliputi semua pelarian dari Myanmar yang terdiri daripada pelbagai etnik, termasuk Chin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelariannya yang berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan langkah awal dalam menangani isu berkenaan, selain memastikan aspek ketenteraman awam di Malaysia terus dipelihara.






