
KUALA LUMPUR: Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0) menyasarkan penjimatan sebanyak RM85.24 bilion dalam tempoh 10 tahun menerusi usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di negara ini.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, NEEAP 2.0 yang dilancarkan sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 itu menjadi fasa seterusnya dalam usaha memperkukuh kecekapan tenaga negara bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Menurut beliau, pelaksanaan fasa kedua berkenaan akan berpandukan serta diselaraskan dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan Parlimen pada 2024.
“Dalam NEEAP 2.0 ini, tumpuan bukan semata-mata kepada bekalan elektrik tetapi turut meliputi tenaga terma.
“Sebab itu, sasaran penjimatan yang kita jangkakan untuk tempoh sekitar 10 tahun ini adalah sebanyak RM85.24 bilion,” katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi NEEAP 2.0 sempena ISES ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kecekapan tenaga merupakan antara langkah paling berkesan bagi memastikan penggunaan tenaga lebih efisien, dengan NEEAP 2.0 memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu industri, domestik dan komersial.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga selain membantu meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Dalam ucapan perasmian ISES 2026, beliau menegaskan usaha meningkatkan bekalan tenaga bersih perlu bergerak seiring dengan perubahan terhadap cara tenaga digunakan.

Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara pertama selama 10 tahun berjaya menjimatkan 60,886 gigawatt-jam (GWh) elektrik, mengatasi sasaran awal sebanyak 52,233 GWh.
Pencapaian itu turut menyumbang kepada pengurangan kira-kira 35.6 juta tan karbon dioksida setara serta menghasilkan penjimatan sekitar RM16.1 bilion.
Menurut Akmal Nasrullah, pengenalan EECA pula menandakan perubahan penting dalam usaha menginstitusikan kecekapan tenaga merentasi keseluruhan ekonomi, termasuk pengurusan tenaga terma.
Penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan tenaga pintar akan diperluas bagi membantu pengguna mengoptimumkan penggunaan tenaga, meningkatkan daya saing serta mengurangkan tekanan terhadap grid.
“Kecekapan tenaga mesti menjadi amalan perniagaan standard dan alat produktiviti nasional, dan akhirnya menjadi satu cara hidup,” katanya.
Bagi memastikan peralihan tenaga kekal adil dan berteraskan rakyat, beliau berkata pengguna domestik yang menggunakan elektrik sebanyak 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan dan ke bawah terus dikecualikan daripada surcaj tarif.
Katanya, langkah itu dapat melindungi majoriti isi rumah selain membolehkan bantuan disasarkan secara lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.
Akmal Nasrullah berkata penyertaan rakyat dalam sektor tenaga akan terus diperluas menerusi solar atas bumbung, model berasaskan komuniti dan mekanisme agregasi.
Pembangunan bakat dalam bidang solar, teknologi grid, penyimpanan tenaga, kecekapan tenaga, hidrogen serta industri tenaga bersih lain turut diberi perhatian.
“Peralihan ini mesti mewujudkan laluan untuk rakyat Malaysia dan perusahaan domestik bergerak ke arah aktiviti yang mempunyai nilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, peralihan tenaga negara perlu dilaksanakan secara berdisiplin bagi menjamin bekalan tenaga yang mencukupi dan boleh dipercayai, selain menyokong ekonomi kompetitif serta memastikan kos dan manfaat peralihan dikongsi secara adil.
ISES 2026 yang bertemakan ‘Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders’ menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, pelabur, inovator dan pemegang taruh tenaga dari seluruh rantau bagi memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga lestari.






