
KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada golongan bukan Islam atau pihak berkepentingan dari China sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, aset berkenaan dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), iaitu sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.
“Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau kepada China seperti didakwa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika memberikan penjelasan kerajaan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, TH pada 2018 memindahkan aset berprestasi rendah dan bermasalah bernilai RM9.7 bilion kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan bagi menangani jurang aset dan liabiliti institusi itu yang ketika itu berjumlah kira-kira RM10 bilion.
Urus niaga berkenaan membabitkan 100 saham syarikat tersenarai, 29 hartanah dan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit.
Zulkifli berkata, UJSB membiayai pengambilalihan aset berkenaan menerusi penerbitan sukuk yang dilanggan sepenuhnya oleh TH.
Katanya, sebagai sebahagian daripada pengaturan itu, TH turut diberikan Hak Keutamaan Membeli (ROFR), yang memberikan keutamaan kepada institusi berkenaan untuk membeli semula aset tersebut sekiranya UJSB memutuskan untuk menjualnya pada masa hadapan.
“Ini bermakna aset berkenaan boleh kembali kepada TH sekiranya TH mahu mengambilnya semula,” katanya.
Beliau menjelaskan ROFR itu tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan kerana sebarang keputusan pembelian tertakluk kepada penilaian komersial dan kesesuaian aset berdasarkan kriteria pelaburan TH.
Menurut Zulkifli, pemindahan aset berkenaan dilaksanakan sebagai langkah menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan TH susulan krisis kewangan yang dihadapi institusi itu ketika itu.
“Pelan itu bukan diwujudkan kerana kerajaan mahu mengambil aset TH,” katanya.
Beliau berkata, TH kemudiannya menggunakan pengaturan berkenaan untuk memperoleh semula sebahagian aset selepas kedudukan kewangannya bertambah baik.
Antaranya termasuk sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual pada harga RM400 juta pada 2018 sebelum dibeli semula TH pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.
TH turut memperoleh semula aset perladangan kelapa sawit milik UJ Estates Holdings Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berdasarkan nilai pasaran, termasuk RM115 juta secara tunai, berbanding harga jualan terdahulu sebanyak RM800 juta.
Zulkifli berkata, urus niaga berkenaan membuktikan aset yang dipindahkan menerusi proses penstrukturan semula masih boleh dinilai semula dan diperoleh kembali sekiranya berdaya maju dari segi komersial serta memberikan manfaat terbaik kepada pendeposit TH.
Beliau menegaskan, setiap keputusan membabitkan aset TH perlu berlandaskan kepentingan pendeposit dan bukannya pertimbangan politik.
“TH bukan milik kerajaan hari ini, kerajaan semalam atau mana-mana parti politik. Ia amanah milik umat Islam Malaysia,” katanya.
Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas sehari bagi membincangkan laporan RCI berhubung TH, dengan prosiding bermula pukul 10 pagi menerusi penjelasan Zulkifli, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.
Laporan setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu itu meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara penemuan utama laporan itu ialah kelemahan tadbir urus termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira secukupnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
Laporan berkenaan turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.






