
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, mengarahkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menarik balik kenyataannya berhubung isu salah laku dan penyelewengan melibatkan orang Melayu Islam ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.
Arahan itu dikeluarkan selepas Mohd Sany mencelah ketika Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) menyampaikan perbahasan, dengan mempersoalkan sama ada perbuatan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah sekiranya dilakukan oleh individu Melayu beragama Islam.
Ramli kemudian meminta Mohd Sany menarik balik kenyataan tersebut sepenuhnya selain turut memberi amaran bahawa Ahli Parlimen itu boleh diarahkan keluar dari Dewan sekiranya terus berdalih dan enggan mematuhi arahan berkenaan.
“Yang Berhormat Gombak (Amirudin) jadi masalah kenapa, tak mengapa jika nak curi, rompak atau sakau yang penting yang mengambil duit itu orang Melayu. Tak mengapa ambillah, curilah lagi yang penting Melayu dan Islam sebab dalam negara kita ini, Melayu saja yang boleh rompak, curi, sakau dan mentekedarah duit rakyat, janji Islam Melayu tak ada masalah.
“Yang tak boleh, Cina dan India,” katanya.
Kenyataan itu kemudian dibantah Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta Mohd Sany menarik balik ucapannya kerana disifatkan menyerang orang Melayu Islam.
Ramli berkata, arahan itu dibuat kerana kenyataan berkenaan dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
Bagaimanapun, Mohd Sany menjelaskan bahawa kenyataannya hanya merujuk kepada segelintir individu Melayu beragama Islam yang didakwa terlibat dalam perbuatan mengambil atau menyalahgunakan wang rakyat.
“Disebutkan dalam laporan RCI, Perdana Menteri pada masa itu Melayu Islam, menteri Melayu Islam, timbalan menteri Melayu dan Islam, Pengerusi TH (waktu itu) pun Melayu dan Islam.
“Saya tarik balik tapi saya katakan (tindakan sakau dilakukan) segelintir Melayu Islam,” katanya.
Ramli kemudian memberi kata dua kepada Mohd Sany supaya menarik balik keseluruhan kenyataan itu atau diarahkan keluar Dewan.
“Saya ingatkan Yang Berhormat (Mohd Sany) dan Yang Berhormat yang lain, jika sekali lagi bangkitkan isu menyebabkan rasa tak senang kaum di dalam Dewan ini dan di luar, saya tak teragak untuk perintahkan Yang Berhormat keluar Dewan,” katanya.
Mohd Sany akhirnya akur untuk menarik balik kenyataan berkenaan sebelum perbahasan Amirudin diteruskan.





