
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang didakwa masih mahu ‘bermain drama politik’ susulan keputusan mereka meninggalkan Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Khas membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.
Anwar mempersoalkan tujuan sebenar pembangkang sama ada mahu membahaskan mengenai dirinya atau isu membabitkan TH yang disifatkannya sebagai institusi kewangan penting kepada umat Islam.
“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
“Orang Melayu Islam sudah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang daripada pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS benar-benar mengambil berat kepentingan golongan berpendapatan rendah serta mereka yang bergantung kepada TH untuk menyimpan wang bagi menunaikan ibadah haji.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang meminta persidangan berkenaan ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri.
Beberapa Ahli Parlimen PN bangkit mempersoalkan kewajaran sidang khas itu diteruskan, antaranya Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan keadaan berkenaan seolah-olah majlis perkahwinan diadakan tanpa pengantin.
Wakil rakyat PN kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan Dewan Rakyat selepas permintaan mereka supaya sidang khas itu ditangguhkan ditolak.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum itu membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi meminta persidangan khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Anwar.
Anwar tidak dapat menghadiri sidang khas itu selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia, semalam.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah dilaporkan berkata, prosedur berkenaan berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah turut memaklumkan Anwar dijangka berada di bawah pemantauan pasukan perubatan selama dua hari.
Sidang khas Dewan Rakyat itu diadakan susulan laporan RCI TH yang dikeluarkan secara rasmi pada 29 Julai lalu.
Laporan setebal 211 halaman itu merangkumi siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 dan kemudiannya dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka oleh Jemaah Menteri.






