
GEORGE TOWN: Kementerian Kewangan menasihati orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang cubaan penipuan berkaitan bantuan tunai RM100 menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang akan diberikan secara sekali bayar.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menegaskan bantuan itu tidak memerlukan sebarang permohonan atau pendaftaran. Dana tersebut akan dikreditkan secara automatik kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad, bermula 31 Ogos ini.
“Kami terima banyak pertanyaan mengenai pendaftaran bantuan SARA RM100 ini. Malah, terdapat aduan tentang pautan palsu dan mesej yang mendakwa orang ramai perlu segera mendaftar.
“Ini tidak benar dan boleh mendatangkan bahaya. Jangan sesekali klik pautan itu kerana ia adalah penipuan,” katanya.
Katanya, jika ada individu yang layak tetapi tidak menerima bantuan selepas tarikh tersebut, mereka boleh menghubungi kementerian untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Rujukan STPM dan Bengkel Teknik Menjawab SPM bagi subjek Bahasa Cina dan Pendidikan Moral di Pulau Pinang, semalam.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif di bawah Kerajaan MADANI, termasuk pemberian RM100 secara sekali bayar menerusi SARA, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya, serta subsidi harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Hui Ying berkata, kerajaan menimbang untuk menyenaraikan barangan basah seperti ayam, ikan dan daging sebagai sebahagian daripada barangan di bawah program SARA, bergantung kepada maklum balas dan keperluan semasa penerima bantuan.
“Kita terus mendengar cadangan berkaitan senarai barangan SARA. Ada permintaan untuk masukkan makanan basah, dan kita akan teliti perkara ini sebelum buat sebarang keputusan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan pada 1 Mei lalu, kerajaan telah memperluas senarai barangan SARA meliputi kelengkapan rumah seperti sabun pencuci pakaian, sabun lantai, dan sabun pinggan mangkuk. Ini sebagai tambahan kepada barangan makanan asas, ubat-ubatan, kelengkapan sekolah, dan barangan kebersihan diri.
Setakat ini, SARA merangkumi 14 kategori dengan lebih 90,000 jenis barangan, hasil maklum balas daripada pelaksanaan awal program tersebut tahun ini.