
PETALING JAYA: Bapa Zayn Rayyan, Abdul Matiin terkejut dan menjerit sambil menyoal siapa membunuh anaknya, sejurus mayat kanak-kanak itu dijumpai selepas lebih sehari dilaporkan hilang.
Faizul Najib Abd Munaim, 47, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa Zaim Ikhwan Zahari juga mengeluarkan kata-kata kesat seolah-olah mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah berkenaan.
“Saya tidak dapat mengingati apa diucapkan dengan tepat, tetapi beberapa perkataan kurang enak telinga dikeluarkan bapa Zayn.
“Saya ingat dia menggunakan perkataan ‘celaka’ dan bertanya siapa membunuh anaknya,” kata saksi pendakwaan keenam ketika pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Saksi itu berkata, ramai orang termasuk mereka yang terlibat dalam pencarian kanak-kanak autistik itu, berkumpul dekat sungai di mana mayatnya ditemukan sekitar 9.30 malam, pada 6 Disember 2023.
Faizul, yang ada ketikanya sebak memberi keterangan, berkata Zaim bersikap kasar apabila menanyakan mengenai penemuan mayat anaknya.
Dia bertanya saya: “Saya diberitahu semasa abang jumpa anak saya, dia masih hidup lagi?”
“Saya tidak layan soalan itu kerana dia sedang emosi,” katanya.
Namun, isteri Zaim, Ismanira Abdul Manaf, kelihatan tenang dan cuba menenangkan suaminya.
“Dia boleh menerima keadaan anak dah meninggal,” tambahnya.
Faizul, yang menetap di Apartmen Saujana, terletak 700 meter dari lokasi kejadian, berkata dia terlibat dalam pencarian kanak-kanak lelaki itu pada hari dia dilaporkan hilang pada 12.30 tengah hari, pada 5 Disember 2023.
Saksi itu juga yang merupakan ahli jawatankuasa surau, berkata dia mengetahui kehilangan Zayn Rayyan menerusi kumpulan sembang.
Faizul berkata, dia meneruskan pencarian kira-kira 7 malam, pada 6 Disember dan kemudian ke blok apartmen di mana ibu bapa kanak-kanak berkenaan tinggal.
Membawa lampu suluh, saksi tersebut berkata, dia ke satu pondok di mana sekitar 10 orang berkumpul mencari kanak-kanak itu.
“Mereka mengajak saya untuk makan, tetapi saya secara berhemah menolak kerana misi saya ingin menjejak Zayn Rayyan,” katanya.
Faizul berkata, dia memasuki satu kawasan ditumbuhi semak, menyuluh lampu dibawa dekat sungai dan menjumpai satu mayat di tebing pasir.
“Saya menjerit: ‘Jumpa.’ Telefon ambulans,” katanya sambil menambah dia segera meredah sungai berkenaan.
Katanya, mayat Zayn Rayyan lengkap berpakaian, bersih, dan dalam kedudukan mengiring.
Saksi juga berkata, seorang jiran kemudian memberitahunya mayat itu tidak ada ketika dia pergi ke sungai pada 10.30 pagi, hari sama.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan, Faizul bersetuju ada pengguna media yang peka menyebarkan maklumat di media sosial sejurus kanak-kanak tersebut hilang.
Katanya, dia tidak mengenali pasangan berkenaan sebelum kejadian terbabit.
Haresh: Adakah reaksi bapa apabila mendengar anaknya telah meninggal memang dijangka?
Faizul: Ya, dia pun ulang balik soalan sama, (bahawa anaknya masih hidup ketika dia pergi ke sungai)
Ismanira and Zaim, kedua-dua berusia 30 tahun, minta dibicarakan terhadap tuduhan pengabaian kanak-kanak, pada 13 Jun tahun lalu.
Kesalahan didakwa berlaku di PJU Damansara Damai, antara tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam, pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dengan mayatnya ditemui di sungai berdekatan rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada hari berikutnya.
Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.