KUALA LUMPUR: Seramai 18 bayi dan 10 kanak-kanak antara 34 mangsa terperangkap diselamatkan bomba selepas sebuah tadika di Kampung Mohd Amin, di Tepian Tebrau, Johor Bahru, Johor, dilanda banjir kilat petang semalam.
Banjir yang berpunca daripada hujan lebat lebih sejam itu memaksa pasukan penyelamat dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan kesemua mangsa ke lokasi selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dihantar ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan 4.26 petang.
Katanya, operasi turut dibantu sukarelawan Ihsan Johor serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
“Anggota penyelamat berjaya membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi, dan 10 kanak-kanak tadika ke kawasan selamat.
“Operasi diteruskan dengan membuat rondaan dan penyelamatan di kawasan berhampiran,” katanya.
