
KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa digital serantau apabila mencatat skor 75 dalam Laporan GSMA Digital Nation ASEAN 2025, satu pengiktirafan penting terhadap kekuatan negara dalam tadbir urus data, perlindungan privasi dan usaha membina kepercayaan digital.
Pengiktirafan itu diumumkan sempena Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Digital Nation Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang berlangsung di Hotel Westin di sini, semalam.
Acara julung kali itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dengan kehadiran tokoh-tokoh digital serantau dan pemimpin industri.
“Kepercayaan adalah asas utama negara digital. Kita perlu melindungi rakyat daripada ancaman siber sambil mewujudkan ruang selamat untuk mereka menyertai ekonomi digita.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan siber negara, selain memastikan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan perlindungan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Nie Ching berkata, sebagai langkah konkrit, kerajaan melaksanakan pindaan pertama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas lebih dua dekad, yang memperkenalkan peruntukan baharu untuk membanteras penipuan dalam talian, perjudian haram, buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah sekatan terhadap mesej elektronik tanpa diminta, yang sering menjadi medium utama penipuan siber.
“Kerajaan turut merangka dua undang-undang baharu iaitu Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi melengkapkan perlindungan digital rakyat serta memperkukuh persekitaran maya negara.
“Dalam aspek kesedaran awam, kempen keselamatan internet peringkat kebangsaan yang dilancarkan awal tahun ini telah memberi manfaat kepada lebih 150,000 rakyat, termasuk pelajar, ibu bapa dan komuniti akar umbi.
“Literasi digital adalah perisai utama rakyat hari ini. Kita mahu setiap individu mampu melindungi diri dalam dunia yang semakin kompleks secara digital,” katanya.
Nie Ching turut menyeru negara-negara ASEAN meningkatkan kerjasama rentas sempadan dalam menangani isu keselamatan siber, penipuan digital dan tadbir urus teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, hanya dengan pendekatan kolektif, ASEAN mampu kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital global.
Malaysia melalui MCMC juga bakal bekerjasama dengan GSMA untuk memperluaskan siri M360 ASEAN pada tahun hadapan, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan berpusatkan rakyat.