
KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terus berdepan cubaan intimidasi dan gangguan ketika pelayaran membawa bantuan ketika menghampiri perairan Gaza.
Sumud Nusantara Command Center–MAPIM Central memaklumkan, gangguan itu berlaku ketika flotilla berada di zon kelabu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.
Menurutnya, letupan turut kedengaran pada pukul 1 pagi waktu tempatan disamping sekatan komunikasi yang juga dilapor berlaku.
“Berlaku juga lapan letupan udara berhampiran kapal kami serta kapal lain di sekeliling. Namun 34 delegasi Malaysia kekal selamat dan bersiap-siaga penuh,” menurut kenyataan itu.
Katanya, sebanyak 15 dron rejim berlegar rendah setiap 10 minit dipercayai bertujuan melakukan intimidasi dan risikan.
“Pihak sekretariat percaya gangguan keempat dron-dron berkenaan digunakan bagi mengumpul maklumat risikan dan menakutkan pasukan flotila,” katanya.
Sebelum ini, dua dron dipercayai milik pihak pemerhati atau dari Israel dilihat berlegar berhampiran bot Fair Lady, yang turut membawa aktivis dan personaliti media sosial, Nurharahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee.
GSF memasuki hari keenam apabila 38 bot yang terbabit kini menghampiri Perairan Greece, sebelum bergerak ke Zon Kuning kira-kira 300 batu nautika dari Pantai Gaza.
Pelayaran GSF membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.
Misi itu membabitkan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.






