
SEREMBAN: Tempoh reman terhadap bapa kepada dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson disambung lima hari lagi sehingga 16 September.
Reman terhadap teman wanitanya pula disambung selama empat hari hingga 15 September.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lanjutan reman itu diperoleh daripada Mahkamah Majistret Port Dickson pagi tadi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek, seorang lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 41 tahun, sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 5 September lalu, susulan insiden yang berlaku pada 4 September.
Dalam kejadian tersebut, dua beradik masing-masing berusia enam dan lapan tahun, seorang lelaki dan seorang perempuan, ditemukan lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam sungai di Tanjung Agas.
Ketika kejadian, bapa mangsa dilaporkan berada di luar kenderaan dan terselamat, manakala wanita yang turut berada dalam kereta diselamatkan oleh orang awam.
Hasil bedah siasat yang dijalankan sebelum ini mengesahkan punca kematian dua kanak-kanak itu adalah akibat lemas dan tiada sebarang unsur kekerasan ditemukan.





