
KUALA LUMPUR: Pemaju yang terlibat dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu memastikan rumah yang dibina kelak mampu dimiliki oleh orang Melayu.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan semula Kampung Sungai Baru harus mengutamakan kepentingan orang Melayu sebagai pemilik asal tanah tersebut.
Katanya, pemaju perlu menghormati sejarah dan kedudukan tanah seluas 3.19 hektar itu yang merupakan hak milik orang Melayu sejak ia dikurniakan oleh Sultan Selangor pada era penjajahan British.
“Ini bukan sekadar pembangunan. Ia menyentuh soal warisan dan hak milik orang Melayu.
“Pemaju mesti pastikan rumah yang dibina nanti mampu dimiliki oleh penduduk asal dan bukan hanya untuk golongan berada,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan pemaju yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah secara paksa ke atas 14 pemilik rumah yang masih enggan berpindah.
“Tindakan seperti ini langsung tidak bertanggungjawab. Penduduk dihalau tanpa jaminan masa depan yang jelas.
“Apabila kerajaan terdahulu ambil alih kawasan ini, tidak ada dalam kalangan mereka yang melihat isu pengusiran penduduk di situ beramai-ramai oleh pemaju.
“Saya juga sedih apabila berlaku hingga ke tahap mencederakan kakitangan awam iaitu OCPD Dang Wangi,” katanya.
Bagi memastikan isu ini ditangani dengan adil, Johari merancang untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau mahu kerajaan campur tangan supaya rumah-rumah yang akan dibina kelak hanya dijual kepada orang Melayu bagi memastikan kesinambungan komuniti asal terus terpelihara.
“Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Jangan biar mereka kehilangan hak di tempat sendiri,” katanya.
Terdahulu, suasana kecoh tercetus ketika operasi pengosongan kawasan dijalankan apabila penduduk mula mendesak untuk kembali ke kediaman mereka.
Operasi itu diketuai bailif mahkamah bersama beberapa agensi lain.
Insiden itu juga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Suzilme Affendy Sulaiman cedera terkena batu di bahagian kepala.







