
KAJANG: Seorang pelajar tingkatan satu yang sebelum ini mengaku bersalah kerana menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah, menarik balik pengakuan itu pada saat akhir sebelum hukuman diputuskan hari ini.
Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu pada mulanya mengaku bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun dalam kejadian yang berlaku pada 28 Julai lalu di sebuah sekolah menengah.
Bagaimanapun, sejurus sebelum prosiding bermula di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, remaja terbabit memaklumkan kepada peguamnya, S. Priyalatha dia ingin menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.
Menurut Priyalatha ketika ditemui di luar mahkamah, anak guamnya memberitahu dia belum bersedia untuk meneruskan pengakuan bersalah tersebut.
Pertuduhan kemudiannya dibacakan semula dalam bahasa Tamil, dan remaja berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah.
Mahkamah menetapkan 9 Oktober sebagai tarikh penyerahan dokumen bagi tujuan perbicaraan. Priyalatha memaklumkan pihaknya akan meneliti dokumen tersebut sebelum membuat keputusan sama ada akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk memohon penarikan balik atau pengurangan pertuduhan.
Beliau turut memberitahu pelajar itu sebelum ini sudah menjalani penilaian sosial selama sebulan bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Hulu Langat, namun laporan berkenaan tidak sempat dikemukakan kerana berlaku pindaan terhadap pengakuan anak guamnya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri hadir mewakili pihak pendakwaan dalam prosiding tersebut.
Ketika keluar dari kamar mahkamah, ibu kepada remaja terbabit kelihatan sebak dan menangis, sambil merayu agar anaknya diberikan peluang kedua.
“Apa yang dia lakukan memang salah, tetapi saya merayu dia diberi peluang kedua,” katanya.
Remaja itu dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bersama seorang penjamin sementara menunggu tarikh seterusnya.





