
KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) kembali pada 6 hingga 8 Oktober 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Bertemakan “Menerajui Revolusi Modal Insan”, acara ini bakal menjadi medan strategik membincangkan hala tuju masa depan kemahiran, inovasi dan kepimpinan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang kian berubah.
Dianjurkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), NHCCE 2025 dijangka menghimpunkan lebih ramai pemimpin industri, penggubal dasar, pakar pendidikan dan tenaga kerja dari dalam dan luar negara.
“NHCCE tahun ini berperanan penting dalam memperkukuh daya saing negara melalui pembangunan modal insan yang progresif dan menyeluruh.
“Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi, kemampanan dan mobiliti bakat rentas sempadan, modal insan menjadi nadi kepada kemajuan ekonomi negara.
“NHCCE 2025 akan menjadi platform penting untuk menyatukan pemikiran terbaik dan merintis masa depan tenaga kerja yang lebih tangkas, inklusif dan berdaya saing,” menurut kenyataan HRD Corp.

NHCCE juga merupakan antara acara utama sempena Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, yang menyokong agenda Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Jelas kenyataan itu, NHCCE bukan sekadar acara tahunan tetapi satu gerakan nasional dan serantau.
“NHCCE bukan sekadar acara bahkan ia adalah gerakan.
“Dengan menyatukan pemikir hebat dan penggerak industri, kami ingin memacu perubahan sebenar yang akan memberi kesan langsung kepada organisasi, pekerja dan masa depan ASEAN,” katanya.
NHCCE 2025 akan menyediakan pentas untuk memperkasa pemimpin dan organisasi supaya lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.
Barisan penceramah tahun ini menampilkan tokoh-tokoh ternama dari pelbagai latar belakang, termasuk Dr. Michio Kaku, ahli fizik dan futuris dunia; Vishen Lakhiani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley; serta David Coulthard, bekas pelumba Formula Satu dan pemenang 13 Grand Prix.
Turut serta ialah Mariana Atencio, wartawan pemenang anugerah Peabody; Dato’ Sri Idris Jala, tokoh transformasi negara; Datuk Nicol David, ikon sukan skuasy negara; Dr. Shadé Zahrai, pakar strategi kepimpinan korporat; dan Jason Lai, konduktor orkestra dan jurulatih kepimpinan.
Delegasi akan turut menikmati pelbagai program interaktif seperti sesi jaringan BizMatch, pameran teknologi dan kemahiran, sesi fireside chat dan pocket talk yang menyajikan amalan terbaik, kajian kes sebenar dan peluang kerjasama rentas sektor.
Dengan tumpuan terhadap transformasi digital, kemahiran hijau dan kepimpinan inklusif, NHCCE 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada usaha membina tenaga kerja masa depan yang adaptif dan mampan.
Pendaftaran untuk NHCCE 2025 kini dibuka dengan maklumat lanjut dan muat turun brosur persidangan boleh didapati dalam laman web www.hrdcorp.gov.my/nhcce






