
KUALA LUMPUR: Semua penduduk di kawasan berisiko banjir di Sabah diseru supaya sentiasa peka dengan amaran cuaca dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan agar keselamatan keluarga adalah keutamaan bersama.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pihak berkuasa akan sentiasa mengawasi situasi semasa dan memastikan semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah sentiasa memantau, menyelaras dan bertindak segera dalam memberi bantuan secara menyeluruh jika situasi memburuk.
“Saya mengikuti perkembangan terkini mengenai situasi banjir di Sabah, khususnya di Penampang dan Beaufort dengan lebih 400 penduduk terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bersama-sama kita berdoa agar keadaan kembali pulih dengan segera dan segala urusan bantuan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook di sini, hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, sebanyak 396 orang daripada 126 keluarga dipindahkan ke PPS di Beaufort dan Penampang setakat petang ini, berbanding 409 orang daripada 110 keluarga pagi tadi.






