

KULAI : Penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin seharusnya diterima secara positif dan tidak wajar dipersoalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menjelaskan perkara itu selari pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, yang menyatakan penglibatan wanita dalam pelayaran tersebut adalah harus dari segi hukum.
“Oleh kerana pandangan hukum sudah dikeluarkan, kita berpegang padanya. Isunya bolehkah wanita sertai GSF jawapan sudah diberi.
“Ada kemampuan, ikut kemampuan dan kudrat masing-masing, sama ada lelaki atau perempuan.
“Mana yang tidak mampu di sini, kita doa ikut kemampuan kita. Tak nak ada yang mempersoalkan, pergi tidak, doa pun tidak,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong 1 di sini, hari ini.
Sebelum ini heboh mengenai penyertaan selebriti wanita GSF.
Mohd. Na’im berkata, mufti sudah menyatakan dengan jelas beberapa syarat yang ditetapkan, terutamanya berkaitan aspek keselamatan dan kesediaan peserta wanita yang ingin menyertai.
“Mufti telah menyatakan dengan jelas beberapa syarat yang ditetapkan, terutamanya berkaitan aspek keselamatan dan kesediaan peserta wanita yang ingin menyertai,”katanya.






