

PUTRAJAYA: Kerajaan tetap berpendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menjejaskan keharmonian awam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, insiden provokasi semasa proses pengosongan yang berlaku semalam bukanlah berpunca daripada penduduk asal, sebaliknya didalangi oleh pihak luar yang berusaha menyebarkan dakyah.
“Saya tahu siapa sebenarnya dalang yang menunggang isu ini. Mereka bukan pun penduduk di situ. Saya tidak akan beri peluang untuk perkara sebegini,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika sidang media selepas operasi pengosongan di kampung Sungai Baru memaklumkan pihaknya mengesan sekumpulan individu yang bukan penduduk dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.
Beliau menegaskan, ada dalam kalangan individu yang berkumpul ketika operasi itu dipercayai terbabit aktiviti menimbulkan kekacauan, ‘berkepentingan’ serta mencurigakan.
Sementara itu, Zaliha menegaskan bahawa tindakan beberapa pihak yang membandingkan situasi di Kampung Sungai Baru dengan insiden rusuhan di Indonesia dan Nepal adalah tidak tepat dan tidak berasas.
“Kenapa mahu negara ini huru-hara… kita bersusah-payah pelihara keamanan, jadi hal seperti ini perlu ditolak,” tegasnya.
Zaliha berkata, isu Kampung Sungai Baru sudah berlarutan hampir sembilan tahun dan kini menjadi tanggungjawab kerajaan menyelesaikannya.
“Ini isu legasi. Kalau duduk di tempat penduduk yang sudah menunggu rumah hampir sembilan tahun, tentu kita faham perasaan mereka.
“Projek itu bermula sejak 2021 di bawah notis Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan kini Kerajaan Madani mengambil amanah untuk memastikan pampasan adil serta kediaman lebih selesa disediakan,” katanya.
Semalam, suasana tegang tercetus apabila segelintir penduduk enggan berpindah dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala selepas dibaling dengan objek.






