

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dikesan menyimpan wang kira-kira RM1.5 juta dalam akaun miliknya serta ahli keluarga, hasil siasatan dalam operasi Op Rentas yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur baru-baru ini.
SPRM menerusi hantaran di akaun rasmi TikTok, pihak berkuasa itu mendedahkan bahawa suspek menyimpan lebih RM1 juta dalam akaun Lembaga Tabung Haji atas nama sendiri, isteri dan anak-anak.
Selain itu, lebih RM400,000 lagi disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) manakala, turut dirampas barang kemas bernilai RM60,000 serta wang tunai RM13,900.
Dalam operasi sama, SPRM menyerbu kediaman seorang pegawai wanita dan merampas wang tunai berjumlah RM150,000, termasuk RM125,000 yang ditemukan disorok di atas bumbung rumah berkenaan.
SPRM juga merampas barang kemas bernilai RM15,000 dari lokasi itu.
Sementara itu, seorang lagi suspek wanita turut disiasat selepas dikesan menyimpan barang kemas bernilai RM80,000, wang tunai RM41,470, serta 13,300 baht.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketiga-tiga suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’ dan disyaki menerima rasuah sebagai habuan bagi memudahkan urusan kemasukan warga asing ke dalam negara tanpa mengikut prosedur sah.






