
KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdepan risiko kelewatan susulan insiden kecurian kabel yang berterusan di sepanjang jajaran rel antara Temerloh dan Bentong, Pahang.
Perkara itu dimaklumkan oleh China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL), syarikat pelaksana projek tersebut, yang turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Dalam kenyataan, syarikat berkenaan menyifatkan kecurian kabel jenis ‘contact wire’ iaitu komponen penting dalam sistem rel sebagai ancaman serius terhadap penyampaian projek nasional berimpak tinggi itu.
Mereka mendedahkan dalam tempoh hanya dua minggu, sejumlah 1,080 meter kabel telah dicuri antara Temerloh dan Lanchang, manakala 599 meter lagi dicuri antara Lanchang dan Bentong.
“Ia, bukan sahaja menyebabkan kerosakan infrastruktur utama dan peningkatan kos pembaikan, malah berpotensi melambatkan keseluruhan jadual projek memandangkan alat ganti yang dicuri adalah komponen khusus yang memerlukan beberapa bulan untuk diperoleh.
“Kecurian terbaru ini merupakan kesinambungan kepada beberapa kes sama yang telah dilaporkan sejak Jun lalu di laluan yang sama,” menurut kenyataan itu.
CCCECRL turut menyatakan sebarang kelewatan akan memberi kesan terhadap matlamat jangka panjang projek ECRL untuk merangsang pembangunan ekonomi dan sosial di Pantai Timur serta di peringkat nasional.
Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Lanchang dan pihak syarikat kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian tersebut.
Memandangkan jajaran projek ini meliputi jarak sejauh 665 kilometer, CCCECRL menegaskan usaha melindungi aset negara ini memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat.
Orang ramai digesa tidak membeli sebarang kabel atau komponen elektrik berkaitan ECRL yang dijual secara haram serta diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis atau pejabat CCCECRL yang terdekat.






