
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa segera menyiasat serta memberkas dalang di sebalik kejadian tersebut.
Kata Anwar, tindakan mencederakan penjawat awam merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan.
“Kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pandangan, sebagaimana yang dibuktikan secara konsisten dalam pelbagai himpunan sebelum ini.
“Namun, kebebasan tersebut perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepatuhan terhadap undang-undang, adab serta norma masyarakat.
“Himpunan secara aman tidak seharusnya disalah guna untuk kepentingan politik sempit yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Anwar juga mengingatkan keganasan yang berpunca daripada hasutan, kebencian serta maklumat palsu tidak boleh dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat kerana ia boleh menggugat keharmonian negara.
Terdahulu, Suzilme mengalami kecederaan ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Kekecohan berlaku apabila sekumpulan penduduk bertindak merempuh masuk ke kawasan operasi dan mendesak agar dibenarkan memasuki semula kawasan perumahan tersebut.
Beliau dilaporkan mengalami luka berdarah di bahagian muka akibat kejadian itu.
Operasi tersebut dijalankan oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan terbabit.





