
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menyalurkan bantuan sehingga RM3,000 kepada setiap satu daripada 62 ketua isi rumah di Segamat yang terkesan akibat beberapa siri gempa bumi lemah yang melanda daerah itu baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bantuan tersebut akan disalurkan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, kejadian itu telah menyebabkan kerosakan kepada 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan.
“Sejurus selepas gempa pertama berlaku pada 24 Ogos, pegawai daerah Segamat telah menggerakkan semua agensi berkaitan, termasuk penghulu dan ketua kampung, bagi melaksanakan penilaian segera serta menyelaras tindakan menerusi mesyuarat khas JPBD.
“Penilaian teknikal yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan mendapati semua bangunan kerajaan masih selamat untuk digunakan,” katanya.
Selain itu, kemudahan infrastruktur penting seperti Tenaga Nasional Berhad, Petronas, Ranhill SAJ dan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) turut diperiksa dan didapati berada dalam keadaan baik serta beroperasi seperti biasa.
Beberapa siri gempa bumi lemah berlaku bermula 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 September yang mencatatkan magnitud antara 2.5 hingga 3.4 di kawasan Segamat dan Batu Pahat.
Dalam jangka pendek, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pengaktifan bilik gerakan bencana selama 24 jam dengan kerjasama agensi keselamatan dan teknikal, selain melaksanakan hebahan kesedaran kepada orang awam serta membangunkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) berkaitan gempa bumi.
Program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti juga akan diperluaskan ke sekolah dan kawasan komuniti menjelang akhir Oktober ini.
Untuk jangka masa panjang, enam stesen seismologi sedia ada di Johor akan dinaik taraf, manakala dua lagi stesen tambahan akan dibina dengan peruntukan RM3 juta yang telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kerajaan negeri juga akan memperkukuh pemantauan melalui kajian berterusan terhadap garisan sesar serta memperkenalkan piawaian binaan tahan gempa bagi pembangunan baharu.
Pemetaan risiko seismik akan dikemas kini secara berterusan menggunakan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana pada masa hadapan.





