PETALING JAYA: Seorang editor video Astro Awani maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 457.1 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) hala selatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.49 malam.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pukul 10.05 malam apabila mangsa, Mohd. Kusairi Ishak, 52, dalam perjalanan dari Tapah pulang ke kediamannya di Bangsar.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di bahagian kanan lebuh raya.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Shamsudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 9 pagi ini.
Motosikal jenis Ducati milik mangsa mengalami kerosakan teruk dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menunggang atau memandu, terutamanya di lebuh raya.
