
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan lawatan rasmi ke Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) di Washington serta New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
Lawatan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan turut disertai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.
Perbincangan diadakan bersama Ketua Seksyen FBI Washington, Spencer Horn Chris Padurano manakala di New York dengan ketua bahagiannya, Paul Roberts. Lawatan ke Washington disambut Atase FBI ke Malaysia, Varinder Singh.
Menurut SPRM, sesi perbincangan di Ibu Pejabat FBI dan Jabatan Kehakiman AS bertujuan mengeratkan kerjasama serta kolaborasi di peringkat global antara kedua-dua agensi penguatkuasaan.
Lawatan berkenaan turut menumpukan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan bersama (MLA) serta pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.
Pihak FBI dan DoJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan serta koordinasi antarabangsa dengan SPRM, AGC dan NFCC.
Langkah ini diambil bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut lunas undang-undang yang sedia ada.
Lawatan rasmi ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara Malaysia dan agensi penguatkuasaan antarabangsa dalam usaha membanteras jenayah kewangan rentas sempadan.







