
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengekalkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga di beberapa kawasan sehingga 18 Disember ini.
Dalam kenyataan, MetMalaysia memaklumkan amaran itu dikeluarkan susulan negara kini menerima tiupan angin dari arah timur laut dengan kelajuan melebihi 40 kilometer sejam (km/j).
Keadaan berkenaan dianggap berbahaya kepada semua aktiviti perikanan, perkapalan, sukan dan rekreasi laut.
Agensi itu turut mengekalkan amaran hujan berterusan kategori waspada di beberapa kawasan, khususnya di timur Semenanjung. Antara kawasan terbabit di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Putih.
Seluruh Terengganu dan Pahang termasuk Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin juga terlibat.
Amaran sama turut melibatkan beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Bagi Sarawak, amaran hujan berterusan berkuat kuasa sehingga 16 Disember, khususnya di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.
Keadaan cuaca lembap kini tertumpu di bahagian timur Semenanjung, melibatkan negeri-negeri yang berada dalam tempoh amaran seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
Ia dijangka bergerak ke arah barat Semenanjung menjelang tengah hari dan berpotensi meliputi seluruh negeri pada sebelah petang.
Di Sabah, cuaca lembap dikesan di Kudat dan Sandakan, dijangka berterusan hingga waktu pagi sebelum tertumpu di kawasan pedalaman, pantai barat serta Tawau pada sebelah petang.
Keadaan cuaca lembap Di Sarawak kini tertumpu di perairan negeri itu dan dijangka bergerak ke kawasan selatan serta barat menjelang lewat pagi, dengan potensi berlarutan dalam tempoh yang lebih panjang.





